Syed Saddiq gesa kerajaan hapuskan AUKU

Syed Saddiq gesa kerajaan hapuskan AUKU

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman mahu kerajaan mengotakan janji menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Unviversiti (AUKU) 1971.

Menurut Presiden MUDA itu, perkara tersebut antara komitmen Pakatan Harapan (PH) ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya, pelaksanaan AUKU lebih banyak menekan dan menyekat hak mahasiswa serta ahli akademik untuk bersuara dan mengkritik.

Malah beliau berkata, ia hanya memberi manfaat kepada orang politik dengan cara memberi mereka kuasa mutlak dalam menentukan pentadbiran universiti.

“Sejarah telah memperlihatkan bagaimana undang-undang AUKU ini telah melahirkan budaya takut untuk mengkritik dan melibatkan diri dalam aktivisme dalam kalangan pelajar dan ahli akademik.

“Pemansuhan AUKU juga satu komitmen PH pada PRU15 dan komitmen ini harus terus dipertahankan sehingga ke hari ini,” katanya.

Terdahulu beliau serta beberapa Ahli Parlimen menerima satu memorandum untuk mansuhkan AUKU daripada kumpulan mahasiswa diketuai oleh University Malaya Association of New Youth (UMANY).

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata beliau menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini di mana institusi pengajian perlu keluar dari amalan budaya lapuk iaitu mahasiswa disekat dari menjadi kritikal dan berfikiran kreatif.

“Sekolah dan institusi pengajian tinggi sepatutnya menjadi tempat untuk melahirkan pemimpin dan bukan pengikut semata.

“Beri ruang untuk mereka bersuara dan bimbing pelajar dan mahasiswa ini untuk mengkritik berdasarkan fakta dan budi, bukannya menyekat hak mereka bersuara,” katanya. – Malaysiapost

Komen