Tok Det menang tanpa bertanding

Tok Det menang tanpa bertanding

DATUK Seri Mahdzir Khalid disahkan menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Padang Terap selepas tiada pencabar tampil menyerahkan borang untuk merebut kedudukan itu pada pemilihan parti, bulan depan.

Setiausaha Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ariffin Man, berkata hanya Mahdzir yang juga Naib Presiden Umno tampil menyerahkan borang untuk jawatan itu sehingga proses pencalonan ditutup petang semalam.

Selain Mahdzir, empat calon Timbalan Ketua Bahagian turut disahkan menang tanpa bertanding termasuk dirinya sendiri di Pokok Sena, selain tiga lagi adalah Syed Hafiz Syed Mustafa (Alor Setar), Datuk Khairul Azhar Abdullah (Baling) dan Datuk Seri Ghazali Ibrahim (Padang Terap).

“Sehingga tempoh pencalonan jam 5 petang semalam, seramai 2,235 calon tampil menawarkan diri bertanding di pelbagai jawatan peringkat bahagian di seluruh Kedah untuk pemilihan peringkat sayap yang akan berlangsung pada 11 Mac, sebelum disusuli peringkat bahagian pada 18 Mac.

“Kita menjangkakan kira-kira 15,000 ahli di setiap bahagian akan mengundi pemimpin pilihan mereka dengan pemilihan kali ini dianggap antara terbesar selepas pemilihan 2018,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ariffin berkata, menariknya pemilihan kali ini apabila lima bekas Ketua Bahagian Umno membuat penampilan semula bagi merebut jawatan Ketua Bahagian di kawasan masing-masing.

Mereka adalah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (Alor Setar); Datuk Johari Baharom (Kubang Pasu); Datuk Abdul Rahman Ariffin (Jerlun); Datuk Abdul Rahim Saad (Sungai Petani) dan Abdul Rahman Mahmud (Padang Serai). – Malaysiapost

Komen