Warga asing berisiko rendah dibenar guna ‘autogate’ KLIA

Warga asing berisiko rendah dibenar guna ‘autogate’ KLIA

WARGA Singapura, Brunei, New Zealand serta negara Kumpulan Tujuh (G7) yang berkunjung ke Malaysia kini dibenarkan menggunakan sistem pagar automatik (Autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan yang sebelum ini hanya dikhaskan untuk rakyat Malaysia adalah bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.

“Mengenai kesesakan di pintu masuk, peristiwa berlaku semalam dan kerajaan khususnya Imigresen sangat prihatin mengenai masalah kelambatan di pintu masuk negara khususnya KLIA. Saya tak ada sindrom penafian dan tak akan bagi alasan.

“Kami akan memaklumkan beberapa langkah misalnya, petang ini saya akan maklumkan pembukaan semua autogate di KLIA untuk warga asing terutama negara berisiko rendah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (Tumpat – PN) berkenaan kesesakan di pintu masuk utama negara semata-mata untuk mengecop pasport.

Saifuddin berkata, langkah berkenaan diambil oleh Jabatan Imigresen bagi membenarkan kepada pengembara dari negara berisiko rendah.

Katanya, orang ramai juga masih boleh memohon dan memperbaharui pasport antarabangsa secara terus atau walk-in.

Tambah beliau, bagi permohonan secara walk-in, kerajaan komited untuk menyiapkan dokumen itu dalam tempoh satu hari.

“Sepanjang tempoh Covid-19 hingga hari ini, Jabatan Imigresen mengeluarkan 2.5 juta pasport dan 45 peratus daripada permohonan itu dilakukan secara dalam talian.

“Mengisi borang ikut syarat dengan gambar yang berkualiti… tak sampai lima minit cuma pasportnya itu akan mengambil masa beberapa hari untuk siap berbanding dilakukan secara walk-in di mana siap pada hari yang sama.

“Kita masih membenarkan permohonan secara walk-in dan kita juga komited walk in ini siap dalam tempoh satu hari,” katanya. – Malaysiapost

Komen