2 individu jadikan DASH litar lumba haram dicekup

2 individu jadikan DASH litar lumba haram dicekup

POLIS sudah menahan individu yang dipercayai terbabit dalam lumba haram membabitkan kereta jenis Proton Satria di Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi.

Menurutnya, kejadian tersebut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Siasatan dijalankan mendapati enam Proton Satria melakukan aksi berlumba bermula dari Plaza Tol Denai Alam sehingga susur ke Pulau Angsa Lebuhraya DASH dan berpatah balik melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam.

“Dua suspek berusia 20 dan 29 tahun yang dipercayai terlibat dalam perlumbaan ini telah diberkas selain kereta yang dimiliki kedua-dua suspek disita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial rakaman CCTV sekumpulan individu memandu secara melawan arus dan kemudian berlumba berhampiran sebuah Plaza Tol di DASH. – Malaysiapost

Komen