Agong hadir Majlis Penutup Desert Tiger Exercise di UAE
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Penutup Desert Tiger Exercise 6/2023 di Al Hamra FIBUA City di Wilayah Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Program Latihan Ketenteraan Dua Hala Malaysia-UAE itu disertai 14 pegawai dan 116 anggota daripada Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (PARA) serta lima pegawai dan 120 anggota daripada Batalion Ke-61 UAE Land Forces.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Hadir sama, Presiden UAE yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.
“Keberangkatan Seri Paduka Baginda, yang juga selaku ketua pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ke majlis itu adalah atas persilaan Sheikh Mohammed.
“Kedua-dua pemimpin adalah rakan kolej di institusi latihan ketenteraan terkemuka dunia, Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom, pada tahun 1978 dan 1979 dan persahabatan akrab mereka kekal hingga sekarang,” menurut hantaran itu.

Program latihan ketenteraan berkenaan bermula pada 8 Februari lalu, atas tajaan kerajaan UAE.
Turut hadir di majlis berkenaan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Affendi Buang.
Seri Paduka Baginda kini berada di UAE bagi lawatan khas selama tujuh hari bermula 24 Februari lalu. – Malaysiapost