Angkatan Muda Harapan kekal pendirian mansuh AUKU

Angkatan Muda Harapan kekal pendirian mansuh AUKU

Seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Angkatan Muda Pakatan Harapan akan terus memperjuangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Perkara itu dimaklumkan wakil mereka, Young Syefura Othman dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, wakil Pemuda Harapan akan bertemu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

“Kita kekal komited dengan usaha untuk memastikan AUKU dimansuhkan seperti yang diumumkan dalam manifesto PH pada pilihan raya umum yang lalu.

“Jadi, satu perbincangan lanjut mengenai perkara ini perlu diadakan bersama menteri berkaitan dalam masa terdekat.

“Kami juga sudah mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan mahasiswa dan mendengar pandangan mereka berhubung isu AUKU dan (isu) hak kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Young Syefura berkata, pertemuan dengan wakil mahasiswa Universiti Malaya dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang diadakan di pejabat ahli parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii di ibu negara semalam.

Katanya, pertemuan itu turut disertai ahli parlimen Raub, Chow Yu Hui; ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ahli dewan undangan negeri Tanah Rata (Pahang), Ho Chi Yang.

Mohamed Khaled dalam jawapan bertulis di parlimen pada 24 Februari lalu memaklumkan kerajaan tidak bercadang memansuhkan AUKU kerana akta itu masih relevan.

“Proses pemansuhan akta terbabit memerlukan penelitian lanjut memandangkan ia melibatkan akta lain yang turut berkuat kuasa seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Young Syefura memberitahu beliau bersama Kelvin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli turut mengadakan pertemuan dengan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul bagi membincangkan penubuhan Kaukus Bipartisan Ahli Parlimen muda.

“Pertemuan itu juga diadakan semalam dan cadangan untuk menubuhkan kaukus dibuat setelah mengambil kira jumlah ahli parlimen muda yang ramai pada sesi dewan rakyat untuk penggal ini.

“Kaukus ini berperanan sebagai jawatankuasa kecil memperjuangkan dan membawa isu berkaitan anak muda ke peringkat parlimen supaya satu polisi lebih baik dapat digubal.

“Kita harap ia (kaukus) akan disertai semua Ahli Parlimen muda daripada pembangkang dan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen