Anwar ke Filipina esok

Anwar ke Filipina esok

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Filipina selama dua hari bermula esok.

Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Turut serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta pegawai kerajaan daripada kementerian dan agensi berkaitan.

“Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr dan kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala, seperti kerjasama keselamatan, pertanian dan industri halal dan ekonomi digital.

“Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut dijadualkan menyampaikan syarahan umum bertajuk ’30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN’ di Universiti Filipina.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN.

“Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk memperkasakan jaringan kerjasama dua hala, bertunjangkan kepentingan bersama, peningkatan kerjasama ekonomi dan politik, serta jalinan antara rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen