Bangkit isu telur di Dewan Rakyat, Ka Siong terima surat saman

Bangkit isu telur di Dewan Rakyat, Ka Siong terima surat saman

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataannya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Ayer Hitam berkenaan menerusi Facebooknya hari ini, selain memuat naik surat saman yang dihantar peguam kepadanya berhubung isu berkenaan.

“Sebagai seorang Ahli Dewan Rakyat, saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk membangkitkan isu yang melibatkan kepentingan negara.

“Saya tak pernah sebut nama mana-mana syarikat atau individu dalam perbahasan saya di Dewan Rakyat.

“Tapi, diaorang yang hantar surat peguam kepada saya pula…..jadi saya menjawablah surat tersebut,” katanya dalam hantaran sama.

Baru-baru ini, Ka Siong meraih perhatian apabila membawa tiga telur ayam berlainan jenis iaitu telur dari India, telur omega dan telur tempatan ke Dewan Rakyat.

Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.

Selain itu, Ka Siong juga mendakwa ketiga-tiga jenis telur itu berbeza dari saiz dan harga.

Sementara itu, pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Ka Siong menzahirkan rasa hairan dengan tindakan syarikat berkenaan.

“Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini, saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India. Itu yang saya tak faham dan saya ditegah untuk berucap.

“Ini yang teruk. Sebab itu saya ada jawab nanti… tengok Facebook saya. Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat.

“Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini. Apa salah saya sehingga pengimport melalui peguam tulis surat kepada saya.

“Ini floor (platform) saya. Saya pun tak sebut syarikat apa dan saya tak nak tahu (syarikat apa),” katanya. – Malaysiapost

Komen