Banjir kilat dijangka landa beberapa kawasan di Johor, Sarawak

Banjir kilat dijangka landa beberapa kawasan di Johor, Sarawak

JABATAN Pengairan dan Saliran memberi amaran kemungkinan banjir kilat akan berlaku di beberapa kawasan di Johor dan Sarawak dalam tempoh 12 jam ini.

Berkongsi dalam hantaran di Facebook rasminya, Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan banjir kilat dijangka melanda beberapa kawasan berisiko tinggi di kawasan berhampiran Sungai Benut, Pontian dan Sungai Punggor, Batu Pahat.

Manakala, banjir kilat dijangka berlaku di Sarawak melibatkan beberapa kawasan di bahagian Kuching, Samarahan dan Mukah.

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” katanya.

Orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir turut digalakkan mengikuti perkembangan terkini mengenainya dengan melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

Komen