Dakwa titah disediakan kerajaan, Tuan Ibrahim mohon maaf
DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) hari ini memohon maaf di Dewan Rakyat susulan kenyataannya yang mendakwa titah perasmian Yang di-Pertuan Agong pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, disediakan kerajaan.
Bekas Menteri Alam Sekittar dan Air berkata beliau memohon maaf sekiranya timbul kekhilafan terhadap dakwaannya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, minggu lalu.
“Saya sudah memberi penjelasan berhubung kekhilafan berlaku dengan Speaker. Saya fikir ini tidak perlu dipanjangkan kerana kita banyak isu penting.
“Saya fikir sekiranya timbul kekhilafan, saya mohon maaf dan kita terus kepada agenda lebih penting untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Tuan Ibrahim selepas isu itu dibawa RSN Rayer (PH-Jelutong)
Rayer yang membangkitkan Peraturan Dewan 36 (6) bahawa ucapan Tuan Ibrahim membuat sangkaan jahat bahawa titah Yang di-Pertuan Agong disediakan kerajaan.
Minggu lalu, Tuan Ibrahim mendakwa, titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, disediakan kerajaan dan dibawa ke Kabinet sebelum diluluskan. – Malaysiapost