Ekosistem keusahawanan halal akan terus diperkukuh – Zahid

Ekosistem keusahawanan halal akan terus diperkukuh – Zahid

KERAJAAN akan terus memperkasakan ekosistem keusahawanan halal melalui MARA yang terbukti telah melahirkan ramai usahawan selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Desa, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, potensi dalam bidang itu telah berjaya melahirkan ramai usahawan sehinggakan ada yang berjaya mengeluarkan produk menembusi pasaran antarabangsa.

“MARA sendiri melalui program Gate to Global telah berjaya menembusi pasaran di lebih daripada 23 negara melibatkan 56 usahawan dan menjana potensi jualan sebanyak RM60.9 juta.

“Kita perlu perkasakan ekosistem keusahawanan halal ini. Potensinya besar. Tahun lalu sahaja, seramai 12,500 usahawan telah menerima manfaat kemudahan keusahawanan melalui latihan, geran peningkatan, pembiayaan perniagaan dan penyewaan premis.

“Usahawan-usahawan ini berjaya menjana jualan tahunan sebanyak lebih daripada RM2 bilion dan telah mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan. More to come, InsyaAllah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menzahirkan perasaan terujanya ketika melawat Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR), hari ini.

“Hari ini selepas menghadiri sesi Parlimen, saya berasa teruja ketika berada di Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR), sebuah kompleks yang mempunyai 19 lot kilang, 2 lot mini kilang dan ruang niaga yang menyokong pembangunan serta ekosistem industri halal negara.

“Melihat kejayaan yang diperoleh oleh Ayaq World, Fatihah Frozen, Izzly dan banyak lagi produk-produk usahawan desa hari ini, saya yakin produk-produk usahawan desa ini bukan sahaja boleh berjaya di dalam negara tetapi mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

Komen