IPIC, Aabar PJS setuju bayar USD1.8 bilion

IPIC, Aabar PJS setuju bayar USD1.8 bilion

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani perjanjian penyelesaian berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan dua firma pelaburan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS), semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam perjanjian itu, IPIC dan Aabar PJS telah bersetuju untuk membayar USD1.8 bilion (RM8.04 bilion) kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan 1MDB.

“Hari ini (semalam) pihak MoF Inc bersama 1MDB telah menandatangani perjanjian berhubung penyelesaian pertikaian di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London dengan IPIC dan Aabar PJS.

“Malaysia dan Abu Dhabi akan terus bekerjasama untuk kemakmuran dan manfaat ekonomi kedua-dua negara pada masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Terdahulu Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan penyelesaian itu dicapai dalam prosiding undang-undang di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

Menurutnya, dengan penyelesaian itu, Malaysia dan Abu Dhabi berharap untuk terus bekerjasama demi kemakmuran dan faedah ekonomi kedua-dua negara pada masa hadapan.

Kedua-dua pihak sebelum ini terbabit dalam pertikaian undang-undang di Mahkamah Tinggi London dengan dakwaan Ipic dan Aabar bersubahat dengan penipuan 1MDB.

Putrajaya mencabar penyelesaian timbang tara pada 2017 antara dua pihak di United Kingdom, mendakwa Ipic dan Aabar Investments sedar mengenai tuduhan penipuan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika perjanjian ditandatangani. – Malaysiapost

Komen