IPR pastikan miskin tegar terus keluar dari garis kemiskinan – Rafizi
KERAJAAN mempunyai formula untuk mengelakkan golongan miskin tegar dan B40 yang menyertai program penjanaan pendapatan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) ‘tergelincir’ di kemudian hari.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mengambil pengalaman daripada program-program kerajaan yang lalu, peserta akan diberi bimbingan menerusi templat yang disediakan bagi mengelak tergelincir kembali ke dalam garis kemiskinan.
“Risiko yang paling besar ialah penerima-penerima tergelincir kembali ke dalam garis kemiskinan kerana risiko menguruskan perniagaan atau pun aktiviti penjanaan pada peringkat awal.
“IPR ini akan fokus kepada kelangsungan penjanaan pendapatan golongan isi rumah miskin tegar dan B40.
“Risiko tergelincir daripada kembali ke kategori miskin tegar menjadi perhatian khusus untuk merangka templat penjanaan pendapatan yang akan berupaya untuk memastikan kelangsungan pendapatan di masa akan datang,” katanya dalam klip video di Facebook, hari ini.
Rafizi menjelaskan, terdapat tiga pendekatan yang ditekankan kepada peserta-peserta IPR bagi memastikan mereka terus keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Pendekatan kali ini mempunyai tiga ciri-ciri baru, pertama aktiviti penjanaan pendapatan mestilah mengikut templat yang dibangunkan dan disediakan oleh kementerian ekonomi.
“Yang kedua ialah penerima ini akan mendapat sokongan daripada kumpulan pembimbing dan mereka diwajibkan menyertai sebuah koperasi yang melibatkan juga pembimbing-pembimbing ini.
“Yang ketiga, aktiviti penjanaan pendapatan itu mestilah mempunyai pembeli sedia ada baik untuk produk mahu pun perkhidmatan disediakan penerima-penerima ini,” katanya.
Justeru, Rafizi berkata, kerajaan menyasarkan 100,000 peserta dari isi rumah miskin tegar dan B40 mendapat manfaat dengan menyertai IPR tahun ini.
“Dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM750 juta untuk membantu kira-kira 130,000 orang rakyat susah tanpa mengira latar belakang kaum untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Sekiranya anda layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan, boleh mohon dan daftar bagi Inisiatif Pendapatan Rakyat di link ini: https://ipr.epu.gov.my/about,” katanya. – Malaysiapost