Isu ‘Kutty’: Kes saman fitnah Tun M terhadap Zahid mula 11 September

Isu ‘Kutty’: Kes saman fitnah Tun M terhadap Zahid mula 11 September

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 11 September ini untuk perbicaraan kes saman difailkan Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kes saman itu membabitkan dakwaan bahawa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘Kutty’ membabitkan bekas perdana menteri itu.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff menetapkan 11 hingga 14 September ini untuk perbicaraan selain menetapkan tarikh akhir bagi pengurusan kes pada 14 Julai.

Hakim turut menetapkan Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz akan dipanggil sebagai saksi plaintif.

“Mahkamah menetapkan tarikh akhir bagi pengurusan kes secara sidang video menerusi aplikasi Zoom jam 9 pagi, 14 Julai ini bagi mengemaskini perkembangan terkini jika ada terhadap kes ini. Bicara penuh pada 11 hingga 14 September pukul 9 pagi,” katanya.

Ahmad Zahid didakwa mengeluarkan kenyataan menfitnah Dr Mahathir semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian.

Kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud Dr Mahathir bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Selain dakwaan bahawa Dr Mahathir menggunakan status Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecil rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Ahmad Zahid pula dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lalu menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasinya di khalayak umum. – Malaysiapost

Komen