J-KOM pertikai kaji selidik 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan
KAJI selidik melibatkan 100 hari pentabdiran Kerajaan Perpaduan menerusi lima media disifatkan tidak menggunakan metode ilmiah yang betul.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berkata, kaedah yang betul penting supaya dapatannya dapat mengurangkan peratusan kesilapan besar selain menggambarkan realiti sebenar yang lebih tepat.
“Lagipun, kaji selidik ini dibuat sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat lalu yang menggariskan hala tuju Malaysia Madani.
“Yakinlah setelah Bajet 2023 dilulus dan dilaksanakan, maka hala tuju negara akan lebih jelas dan ekonomi negara akan bertambah baik.
“Semoganya selepas ini, sokongan rakyat dari semua etnik terhadap Anwar dan kerajaan perpaduan akan sentiasa tinggi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohamad Agus berkata demikian mengulas laporan kaji selidik yang dibuat oleh firma penyelidikan O2 Malaysia dengan kerjasama lima media arus perdana baru-baru ini.
Kaji selidik tersebut dilakukan dengan 35,077 pelayar agensi media dari seluruh negara selama 10 hari bermula dari 6 hingga 16 Februari 2023 bertujuan meninjau sentimen rakyat berhubung prestasi kerajaan.
Dapatan kaji selidik juga menunjukkan Melayu Semenanjung paling ramai bersikap negatif terhadap kerajaan perpaduan iaitu 43 peratus menyatakan hala tuju semasa negara salah.
Sebanyak 53 peratus Melayu Semenanjung menyatakan ekonomi negara dari Disember 2022 hingga Februari 2023 bertambah buruk.
Selain itu, dapatan menunjukkan 71 peratus Melayu Semenanjung menyatakan tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto PRU15 mereka berbanding India dan Cina masing-masing 20 peratus Cina, Bumiputera Sarawak (27 peratus), Bumiputera Sabah (36 peratus) dan 42 peratus lain-lain.
Mengulas mengenainya, Mohamad Agus menegaskan, laporan tersebut menekankan majoriti kaum Melayu merasakan kerajaan perpaduan tidak berprestasi dengan baik selama 100 hari mentadbir.
“Betulkah dapatan ini? Apakah hujah dan alasannya responden tidak berpuas hati ini? Hujah ini dikesampingkan dalam laporan dapatan kajian,” katanya.
Sebagai perbandingan Mohamad Agus berkata dapatan kaji selidik Merdeka Center pada 26 Disember 2022-15 Januari 2023 yang menunjukkan tahap kepuasan hati orang Melayu terhadap prestasi Anwar dan kerajaan perpaduan adalah jauh lebih tinggi.
Misalnya, 60 peratus responden Melayu berpuas hati terhadap prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri manakala 46 peratus Melayu berpuas hati terhadap terhadap kerajaan perpaduan, kata beliau.
“Biarpun laporan Merdeka Center menunjukkan tahap kepuasan orang Melayu terhadap PM dan kerajaan perpaduan adalah tinggi.
“Namun rakyat lebih tertarik dengan hasil kaji selidik O2 kerana ia membabitkan responden lebih ramai berbanding kaji selidik Merdeka Center yang membabitkan 1,209 responden,” katanya.
Mohamad Agus berkata pada masa ini timbul pertanyaan adakah tepat kaedah penyelidikan tersebut termasuk dari segi keabsahan pemilihan responden.
“Apakah ia dibuat secara sistematik atau tidak?” soalnya.
Ini kerana Mohamad Agus berkata walaupun melibatkan 35,077 responden, 81 peratus daripadanya adalah lelaki dan 19 peratus responden adalah wanita yang tidak mencerminkan profil sebenar pengundi Malaysia.
“Begitu juga dari segi pecahan etnik, kumpulan umur, penempatan dan kumpulan pendapatan bulanan isi rumah,” katanya.
Jelasnya, ini berbeza dengan metodologi Merdeka Center yang dibuat secara sistematik mengikut “random stratified sampling” di mana responden dipastikan mencerminkan profil sebenar pengundi Malaysia dari segi umur, etnik, jantina dan kawasan mengundi.
“Bagi saya, kaji selidik yang reliable hendaklah cermat dalam aspek metodologi. Jangan dibuat secara rawak kerana ia tidak mencerminkan realiti sebenar di bawah,” katanya. – Malaysiapost