Kerajaan jimat RM17 bilion jika kumpulan T20 tak diberi subsidi minyak

Kerajaan jimat RM17 bilion jika kumpulan T20 tak diberi subsidi minyak

KERAJAAN dijangka dapat menjimatkan sehingga RM17 bilion jika kumpulan T20 tidak diberikan subsidi minyak petrol dan gas.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata golongan kaya mendapat manfaat RM17.8 bilion (35 peratus) daripada keseluruhan RM50.8 bilion subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada 2022.

Jelasnya, 24 peratus daripada subsidi kerajaan memberi manfaat kepada kumpulan B40 manakala baki 41 peratus lagi dinikmati golongan M40.

Menurutnya, jumlah besar yang boleh dijimatkan daripada pemberian subsidi kepada kumpulan T20 boleh digunakan untuk membantu golongan miskin dan urusan lain di 26 kementerian.

“Dari segi angka, RM50.8 kalau darab dengan 35 peratus yang diguna oleh T20, nilainya, RM17.8 bilion.

“Kita kita tidak mahu lagi T20 dapat subsidi petrol, diesel LPG, kerajaan boleh jimat RM15 hingga RM17 bilion.

“Jika T20 tidak diberikan subsidi petrol, LPG, anggaran penjimatan RM15 bilion hingga RM17 bilion.

“Yang berhormat boleh bayangkan berapa banyak boleh kita guna dari RM15 hingga RM17 bilion itu untuk bantu rakyat dalam pelbagai perkara dan urusan di 26 kementerian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (PN – Kuala Terengganu) yang bertanya apakah kerajaan berhasrat melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol, LPG dan minyak masak bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Ahmad juga berkata, kerajaan membelanjakan RM66.3 bilion tahun lalu dalam bentuk subsidi dan ini termasuk minyak masak, ayam, telur dan tarif elektrik.

Walaupun pelaksanaan subsidi telah membantu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup, Ahmad berkata ia juga mengakibatkan ketirisan.

“Sebagai contoh, perbezaan besar dalam nilai pasaran dan harga subsidi untuk diesel meningkatkan risiko penyeludupan barangan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Ahmad berpendapat Malaysia satu-satunya negara yang memberi subsidi kepada golongan kaya jauh lebih banyak daripada apa yang diberikan kepada golongan miskin.

“Adakah negara lain memberikan subsidi kepada orang kaya jauh lebih banyak daripada apa yang mereka berikan kepada orang miskin? Tidak, kan? Malaysia sahaja,” katanya. – Malaysiapost

Komen