Mahfuz gesa Sanusi letak jawatan MB

Mahfuz gesa Sanusi letak jawatan MB

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa melepaskan jawatan kerana didakwa sering mengeluarkan kenyataan jelek termasuk fatwa politik berunsurkan agama yang menimbulkan kegusaran ramai pihak.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, berkata tindakan Muhammad Sanusi termasuk beberapa pemimpin PAS lain yang berulang kali mengeluarkan kenyataan melampaui tatasusila masyarakat adalah sangat tidak wajar, lapor Sinar Harian.

Justeru katanya, pihak berkuasa agama termasuk agensi berkaitan diminta memantau perkara tersebut kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat majmuk.

“Saya percaya ramai yang dukacita dengan kenyataan dibuat Muhammad Sanusi. Kenyataan seumpama tidak seharusnya diucapkan oleh seorang ketua kerajaan negeri.

“Sudahlah dilakukan berulang kali, dibimbangi boleh cetuskan kegelisahan dan jejas hubungan masyarakat berbilang kaum atau masyarakat Islam,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video kenyataan Muhammad Sanusi yang mengatakan, orang Barisan Nasional (BN) pergi Makkah melontar jamrah (lambang lontar syaitan) tetapi selepas balik berkawan dengan syaitan.

Difahamkan, kenyataan tersebut dipercayai diucapkan Muhammad Sanusi dalam sebuah program yang kemudian dimuat naik dalam laman Tik Tok. – Malaysiapost

Komen