Mohamad Salim dilantik Pengerusi SKMM yang baharu
TAN Sri Mohamad Salim Fateh Din dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tempoh dua tahun, berkuatkuasa esok.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melalui satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
“Sukacita saya umum pelantikan Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din sebagai Pengerusi SKMM bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Mac 2023.
“Tan Sri Salim pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah SKMM serta menjadi ‘Pengerusi Interim’ SKMM dari Jun 2022 sehingga Januari 2023,” katanya.
Fahmi percaya pelantikan itu akan membantu ke arah usaha mengatasi isu-isu prasarana komunikasi termasuk bagi tiga peratus kawasan berpenduduk yang masih belum mempunyai capaian internet.
Menurutnya, ia bagi mengatasi kesenjangan digital dan memacu Malaysia ke arah ‘dekad digital keemasan’. – Malaysiapost