MP Kota Melaka tarik balik sangkaan jahat terhadap Muhyiddin
PERBAHASAN usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini terhenti seketika selepas berlaku kekecohan susulan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu didakwa membuat kenyataan berkenaan terhadap Ahli Parlimen Pagoh yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berbuat demikian ketika berucap membahaskan Belanjawan 2023 dengan menyentuh beberapa skandal besar termasuk Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
Poay Tiong membangkitkan isu pendanaan politik dan rasuah yang disentuh oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu
Menurutnya, skandal demi skandal dibongkarkan dalam tempoh tiga bulan lalu sambil mendakwa projek bernilai berbilion ringgit diberikan kepada ahli keluarga.
“Berkaitan pendanaan politik dan korupsi dalam ucapan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, dalam ucapan bajetnya, menekankan keperluan untuk kita banteras rasuah dan ketirisan.
“Kita lihat dalam masa tiga bulan yang lepas, skandal demi skandal dibongkarkan, antaranya kita boleh lihat projek Jana Wibawa babit RM7 bilion, projek tebatan banjir RM7 bilion juga, Sistem Bersepadu Nasional melibatkan RM1 bilion
“Semuanya kes telah dibongkarkan. Kita semua tahu ini adalah untuk tujuan politik,” katanya.
Susulan itu beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), bangun kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan berkenaan.
Muhyiddin turut bangun menjelaskan dakwaan berkenaan sebagai fitnah yang sengaja direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.
Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong, digesa supaya mengarahkan Poay Tiong menarik semula kenyataannya berdasarkan Peraturan Mesyuarat.
“Mengikut Peraturan 36(6) seseorang ahli (Dewan Rakyat) tidak dibenar mengeluarkan sangkaan jahat. Yang disebut (Poay Ting) adalah Pagoh secara individu.
“Minta tarik balik atau minta maaf, kalau berani tuduh di luar, kita jumpa di mahkamah,” desak Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.
Alice kemudian mengarahkan Ahli Parlimen Kota Melaka itu supaya menarik balik kenyataan yang dibuat.
“Yang Berhormat Kota Melaka, memandangkan Peraturan-Peraturan Mesyuarat 36(6), seseorang ahli tidak boleh memulakan sangkaan jahat ke atas ahli yang lain, jadi saya minta Yang Berhormat Kota Melaka tarik balik (kenyataan terhadap) Yang Berhormat Pagoh.
“Kota Melaka boleh sebut mana-mana pihak, tetapi jangan sebut YB (Yang Berhormat) Pagoh sahaja,” katanya.
Poay Tiong kemudian menarik balik kenyataannya terhadap Muhyiddin dan menyambung kembali ucapan perbahasannya mengenai Belanjawan 2023. – Malaysiapost