Musim tengkujuh: Kerajaan wajar beri ‘one-off’ untuk nelayan pantai

Musim tengkujuh: Kerajaan wajar beri ‘one-off’ untuk nelayan pantai

Ben Ibrahim

MUSIM tengkujuh yang masih belum berakhir dan dijangka berlanjutan sehingga Mac depan, menyebabkan nelayan di Pantai Timur Semenanjung tidak dapat turun ke laut dan menjejaskan pendapatan mereka.

Tinjauan di perkampungan nelayan Pantai Beserah dekat Kuantan, mendapati hampir lima bulan nelayan di situ tidak dapat keluar mencari rezeki.

Kebanyakan nelayan di kawasan itu memaklumkan mereka kini meneruskan kehidupan harian dengan penuh kesukaran akibat tidak ada bantuan tambahan daripada kerajaan.

Pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Jumaat lalu juga seolah tidak memberi perhatian terhadap kesukaran dihadapi warga nelayan pantai di seluruh negara.

Bagi wakil nelayan Beserah, Abdul Aziz Razali, 53, walaupun kerajaan mengekalkan pemberian elaun sara hidup RM300 sebulan, namun mereka berharap kerajaan mempertimbangkan bantuan secara ‘one-off’ kepada nelayan yang terjejas sepanjang Monsun Timur Laut ini.

“Biasanya bermula pertengahan Januari atau Februari, kami sudah boleh turun ke laut seperti biasa, namun kali ini, dengan keadaan cuaca tidak menentu membuatkan kami tidak pasti bila boleh kembali menangkap ikan.

Abdul Aziz Razali, 53,

“Itu kita minta Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu, turun padang dengar keluh kesah nelayan. Mungkin (Menteri) boleh minta jumpa Perdana Menteri (PM) minta bajet tambahan sebab dengan keadaan cuaca sekarang memang teruk nak cari makan,” katanya.

Abdul Aziz berharap kerajaan boleh memberi ‘one-off’ untuk warga nelayan untuk persiapan pembukaan sesi persekolahan dan bulan Ramadan.

Difahamkan Belanjawan 2023 dibentangkan 24 Februari lalu tidak menerima sebarang manfaat secara langsung kepada nelayan pantai berbanding golongan pesawah padi yang menerima peruntukan RM1.6 bilion meliputi pelbagai subsidi dan insentif termasuk harga padi, baja padi dan padi huma.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan yang manfaatkan kira-kira 320,000 pekebun kecil di negara ini.

Dalam pada itu, seorang lagi nelayan pantai, Wan Abdul Jamaludin Wan Mohamad, 53, berkata, dia terkilan dan kecewa kerana belanjawan baru-baru ini seolah-olah meminggirkan kebajikan warga nelayan pantai.

Dia yang sudah hampir 20 tahun menjadi nelayan memaklumkan sudah hampir lima tidak dapat turun ke laut hingga terpaksa mengikat perut dan berhutang di kedai runcit untuk mendapatkan keperluan barang asas.

“Memang kita sangat perlukan bantuan terutamanya daripada kerajaan. Sekarang ni kita tak dapat apa-apa bantuan pun.

“Sejak bulan November kita tak boleh pergi ke laut, masuk bulan Disember, Januari dan Februari… kalau diikutkan empat bulan ini sudah kering air mata untuk menangis,” katanya.

Wan Abdul Jamaludin Wan Mohamad, 53

Wan Mohammad berkata, situasi kali ini lebih teruk berbanding sebelumnya berikutan rata-rata nelayan di sini termasuk dirinya turut ditimpa musibah banjir.

“Sudahlah tidak dapat turun ke laut, banjir pula berlaku dan sekarang masa untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak selain perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan, bermula bulan hadapan.

“Dua daripada lima anak saya masih bersekolah. Tak lama lagi anak nak masuk asrama. Semua itu memerlukan belanja yang besar.

“Tahun lepas tidak seteruk tahun ini kerana ditambah dengan dua kali rumah dilanda banjir,” katanya.

Mereka turut merayu agar kerajaan menghidupkan semula program AZAM Tani yang diperkenalkan pada 2010 bagi memberi peluang kepada warga nelayan mendapat lebih banyak faedah.

Nelayan Pantai Beserah dekat Kuantan meluangkan masa membaiki pukat yang rosak kerana tidak dapat turun ke laut akibat musim tengkujuh belum berakhir

Program itu dilihat sebagai satu impak positif kepada golongan sasar sebelum ia dihentikan.

Antara kemudahan diberikan kepada peserta AZAM Tani ialah peralatan menangkap ikan seperti sampan, enjin bot, pukat, peralatan untuk pemprosesan makanan dan keperluan peralatan pertanian yang diberikan secara subsidi dan one-off. – Malaysiapost

Komen