Pasukan MAS-01 pulang ke tanah air
PASUKAN Mencari dan Menyelamat Malaysia (MAS-01) yang menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye, selamat kembali ke tanah air, semalam.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan, memaklumkan pasukan membabitkan seramai 24 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) itu tiba pada petang semalam menaiki pesawat Turkish Airlines.

Menurutnya, baki 49 lagi anggota dan pegawai MAS-01 akan tiba menerusi dua pesawat berasingan pada hari ini.
Katanya, secara keseluruhan Malaysia menghantar dua pasukan iaitu MAS-01 dan MAS-10 membabitkan seramai 140 anggota bersama dua anjing pengesan (K9) bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.
“Pasukan MAS-01 berlepas ke Turkiye pada 6 Februari lalu selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye,” menurut kenyataan itu.
Menurut NADMA, pasukan SMART menerima pengiktirafan sebagai Pasukan Heavy Urban SAR oleh International Search and Rescue Advisory (INSARAG) di bawah United Nations pada 2016, yang melayakkan pasukan itu dihantar menyertai misi bantuan kemanusiaan di luar negara.

“Misi SAR di Gaziantep, Turkiye berlangsung selama 16 hari sehingga Kerajaan Turkiye mengumumkan peralihan kepada fasa pemulihan.
“Selain SAR, kedua-dua pasukan Malaysia turut terbabit dalam membantu kerja-kerja kemanusiaan seperti pemasangan khemah perlindungan untuk mangsa yang terkesan bencana,” katanya.
Menurut NADMA lagi, sepanjang musim SAR Turkiye, MAS-01 berjaya menemui dan mengeluarkan lima mangsa yang masih hidup selepas tujuh hari terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
“Secara keseluruhan, pasukan SAR Malaysia berhasil mengeluarkan 52 mangsa dari beberapa lokasi runtuhan. Professionalisme dan dedikasi pasukan penyelamat antarabangsa termasuk Malaysia turut mendapat penghargaan daripada Kerajaan Turkiye.
“Bantuan kemanusiaan yang dihulur oleh semua pihak menggambarkan kesatuan dan solidariti semua dalam pengurusan bencana,” katanya. – Malaysiapost