PDRM siasat penemuan naskah al-Quran yang dibuang di beberapa lokasi di Lembah Klang
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat kes penemuan naskah al-Quran yang dibuang di beberapa lokasi di Lembah Klang dan setakat ini seramai lapan individu sudah dirakam percakapan untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata siasatan yang masih berlangsung itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama.
Menurutnya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama.
“Masyarakat dinasihat agar tidak gusar dan mengelak daripada membuat spekulasi kejadian yang pernah berlaku sebelum ini.
“Pihak berkuasa sedang berusaha bagi memastikan pelaku dalam kejadian ini dapat dikesan dan diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PDRM dan agensi-agensi yang berkaitan akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terpelihara.
Menurutnya, dalam menjaga sensitiviti dan kesucian al-Quran, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin melupuskannya, sewajarnya mendapatkan nasihat daripada Jabatan Agama Islam tempatan sebelum pelupusan dibuat.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung siasatan ini, boleh menghubungi balai polis berhampiran yang berdekatan untuk menyalurkannya,” katanya.
Pada 19 November lalu, tular video memaparkan beberapa naskah kitab suci al-Quran dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Taman Sri Murni, Gombak, berhampiran Pasar Borong Selayang.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beg Eng Lain, berkata keseluruhan sebanyak 13 naskah al-Quran dijumpai dalam longkang berkenaan dan dipercayai dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, al-Quran berkenaan ditemui seorang wanita tempatan berusia 52 tahun yang juga ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan pada kira-kira jam 6.30 petang 18 Februari lalu. – Malaysiapost