Pemilihan Umno: Khir Toyo cabar Jamal di Sungai Besar
BEKAS Menteri Besar Selangor, Dr Mohammad Khir Toyo dilaporkan akan bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar pada pemilihan parti kali ini.
Beliau bakal berdepan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos, lapor Malaysia Gazette.
Mohamad Khir pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Sungai Besar ketika bergelar Menteri Besar serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang yang terletak di bawah Parlimen Sungai Besar.
Untuk rekod, Menteri Besar Selangor ke-13 dari Ogos 2000 hingga Februari 2008 itu pernah menjalani hukuman penjara 12 bulan bermula 29 September 2015.
Ini selepas Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah menggunakan kedudukannya bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam untuk dirinya serta isteri bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta, pada 29 Mei 2007.
Dia dibebaskan dari Penjara Kajang pada 29 Mac 2016, selepas diberikan parol enam bulan. – Malaysiapost
Kredit foto: MSN