RoS patut tangguh pemilihan Umno – Ismail Sabri

RoS patut tangguh pemilihan Umno – Ismail Sabri

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sepatutnya menangguhkan proses pemilihan Umno sehingga satu keputusan diperoleh bagi permohonan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan didakwa melanggar Perlembagaan.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan menjadi konflik jika RoS mendapati usul yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 itu bertentangan dengan perlembagaan dan dua jawatan tertinggi parti itu mesti dipertandingkan dalam pemilihan parti.

“Kalau ini berlaku, ia sudah jadi akademik. Sebab kalau tak, tiba-tiba dia (RoS) kata boleh bertanding.

“Ada yang sudah bertanding jawatan Naib Presiden sekarang ni mungkin nak bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden. Tapi dia dah hantar nama untuk Naib Presiden.

“Jadi, saya percaya kalau RoS nak buat keputusan, sepatutnya menangguhkan pemilihan sehingga RoS membuat keputusan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam Akta Pertubuhan, ada satu klausa mengatakan RoS berkuasa untuk menangguhkan setiap pemilihan.

“Jadi dia (RoS) patut gunakan klausa itu bahawa sehingga keputusan dibuat, semua pemilihan ditangguhkan,” katanya.

Pada 15 Februari lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa peraturan mesyuarat dan Perlembagaan Umno telah diikuti sepenuhnya dimana terdapat klausa 9.3 dan 9.4 dalam Perlembagaan parti yang telah dijelaskan kepada RoS.

Menurutnya, PAU merupakan badan tertinggi Umno, maka keputusan untuk menambah usul yang telah dibentangkan itu telah diteliti oleh RoS. – Malaysiapost

Komen