Rosol yang janji selesai 2 minggu, bukan saya – Rafizi
RAFIZI Ramli semalam membidas Ahli Parlimen Hulu Terengganu dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Rosol Wahid berhubung janji menyelesaikan masalah dalam tempoh dua minggu.
Menteri Ekonomi itu sebaliknya berkata Rosol sebenarnya yang pernah berjanji menyelesaikan isu harga dan bekalan ayam dalam tempoh dua minggu ketika menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kerajaan lalu.
Sebaliknya menurut Rafizi, sehingga kini isu tersebut tidak dapat diselesaikan disebabkan masalah yang ditinggalkan kerajaan lalu.
“Baru-baru ini, dia bangun dengan gah “menganjing” (ikut loghat Terengganu) konon saya berjanji sebelum ini boleh selesaikan masalah dalam dua minggu.
“Saya nasihatkan dia supaya berhati-hati di zaman media sosial kerana kalau terlalu belit akan kembali kepada kita.
“Yang janji akan selesai masalah dalam dua minggu ni bukan saya. Dia yang janji.
“Masalah ayam dan telur yang dia tinggalkan sampai sekarang kami kena cuba selesaikan. Dah lebih 52 minggu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau turut berkongsi tangkap layar keratan akhbar kenyataan Rosol ketika bergelar timbalan menteri.
Baru-baru ini di Dewan Rakyat, Rafizi menafikan pernah berjanji akan menurunkan kos sara hidup apabila menjadi kerajaan.
Rafizi menjawab kenyataan Rosol yang mempersoal kenapa harga barang tidak turun dalam tempoh dua minggu selepas menjadi menteri seperti dijanjikan walaupun dengan pelbagai formula. – Malaysiapost