Saya kenal Presiden Umno sejak sekolah, tiada masalah – Ismail Sabri
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beliau tiada sebarang masalah dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi biarpun tidak bersetuju dengan beberapa keputusan parti sebelum ini.
Utusan Malaysia melaporkan, Ismail Sabri yang tidak akan mempertahan jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan kali ini berkata, beliau memang rapat dengan Ahmad Zahid termasuk ahli keluarga Timbalan Perdana Menteri itu.
“Tak ada masalah, saya secara peribadi bukan setakat rapat dengan Presiden, dengan isteri, anak-anak Presiden saya rapat, saya kenal Presiden sejak sekolah lagi, tiada isu.
“Tapi politik, perbezaan pandangan itu sahaja dan Presiden sentiasa mengatakan beliau meraikan perbezaan pandangan dalam Umno.
“Saya dengan dia berbeza sedikit pandangan, tapi dari segi peribadi, tiada isu,” kata Ahli Parlimen Bera itu hari ini.
Sebelum ini Ismail Sabri sering mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan pendirian parti termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan kali ini.
Malah Ismail Sabri memaklumkan, beliau tidak bertanding jawatan Naib Presiden kerana konsisten dengan pendirian mahu dua jawatan tertinggi dipertandingkan. – Malaysiapost