‘Saya pergi rumah Shahrizat dan Noraini’ – Zahid

‘Saya pergi rumah Shahrizat dan Noraini’ – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pertembungan dua penjuru jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti itu membuktikan amalan keterbukaan parti itu untuk memberi peluang kepada ahlinya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, peluang terbuka dan sama rata antara penyandang jawatan, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dengan lawannya yang juga bekas ketua sayap parti itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menyatakan beliau berpihak kepada sesiapa dalam pertembungan jawatan Ketua Wanita Umno itu.

“Saya pergi ke rumah kedua-duanya, rumah Shahrizat dan Noraini. Ini memperlihatkan saya adil dan memberi peluang kepada kedua-duanya,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Mara Halal Industrial Park, Kuala Lumpur, hari ini

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau akan mengetuai rombongan memperkenalkan calon-calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam parti di peringkat nasional, pada hujung minggu ini.

Jelasnya, seramai 330 calon disahkan bertanding pada pemilihan Umno kali ini, terdiri daripada lapan calon bagi jawatan Naib Presiden, 93 (Majlis Tertinggi), dua (Ketua Wanita) dan enam (Ketua Puteri).

Manakala sebanyak 61 calon bertanding bagi jawatan exco Wanita, 113 (exco Pemuda) dan 42 (exco Puteri). – Malaysiapost

Komen