Tudung merah mesti kembali perkasa – Shahrizat
CALON Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mahu mengembalikan pergerakan itu seperti masa lalu iaitu sarat dengan semangat perjuangan yang kental, aktif dan diberi penghormatan.
Kata bekas menteri itu, beliau mahu di Cawangan, Bahagian, bandar, desa dan di mana juga gelombang #tudungmerah dikagumi.
“Wanita Umno sebagai wadah bermaruah, berprinsip, berkepimpinan mesti dimartabatkan.
“Wanita Umno mesti kembali perkasa, bersuara dan relevan dalam parti dan dalam negara.
“Ini hasrat dan tekad saya. Jika diizinkan Allah SWT, sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sebagai rekod, Shahrizat pernah memegang jawatan Ketua Wanita Umno dari 2008 sehingga 2018.
Pada pemilihan kali ini, beliau bakal berdepan penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Dalam hantaran berasingan, Shahrizat menjelaskan, misinya adalah membangkit dan mengimarahkan semula kekuatan Wanita Umno sebagai tulang belakang parti dengan halatuju jelas dan tepat.
Katanya ia bermula di peringkat akar umbi dengan penganjuran secara konsisten aktiviti dan program Wanita di Cawangan dan Bahagian.
Selain itu katanya, menyusun dan menggerakkan semula Wanita Umno sebagai nadi rakyat yang sentiasa bersiap-siaga mendengar, menyampai dan menjuarai isu rakyat dengan satu kuasa kolektif dijana melalui kerjasama semua pemegang taruh.
“Menentukan ada kesepaduan antara semua lapisan pemimpin Wanita Umno dan mewujudkan halatuju jelas untuk mempersiap barisan pemimpin pelapis di setiap peringkat yang mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam landskap politik baharu,” katanya lagi. – Malaysiapost