‘Ya betul, saya sudah failkan perceraian’ – Isteri Hafidz Roshdi
ISTERI pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri, dilapor sudah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor, semalam.
Nurul Shuhada yang mengesahkan perkara itu berkata, tindakan tersebut dibuat atas keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga, lapor Berita Harian.
“Ya betul, saya sudah failkan perceraian selepas ia dipersetujui kedua-dua pihak. Ia berlaku atas persetujuan bersama Hafidz dan keluarga saya.
“Kalau boleh tanpa kehadiran media, jadi kami pergi semalam,” katanya.
Jelas Nurul Shuhada lagi, dia ke Mahkahmah Syariah bersama keluarga dan berharap agar segala urusannya dipermudahkan.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan, InsyaAllah. Saya harap perkara ini tidak menyusahkan mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, Nurul Shuhada memuat naik foto di Instagram, memaklumkan dia ke mahkamah untuk menguruskan urusan perceraiannya.
Hafidz melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap Nurul Shuhada pada 22 Februari lalu.
Menerusi ruangan kapsyen di foto tersebut, ibu kepada dua orang cahaya mata itu berharap agar nafkah buat anaknya tidak akan diabaikan apabila sudah sah bercerai.
“Semoga nafkah anak-anak tidak akan putus. Amin,” tulisnya.
Hafidz turut menjawab di ruangan komen hantaran berkenaan bahawa dia tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah.
“InsyaAllah rezeki anak-anak takkan putus, nafkah pun sama,” katanya.
Difahamkan, sebutan kes perceraian pasangan itu akan berlangsung 1 Mac ini, yang juga merupakan hari ulang tahun kelahiran Nuruk Shuhada yang ke-30.
Untuk rekod, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6 dan Umar, 2 tahun. – Malaysiapost