Zahid minta Ismail Sabri hormati keputusan PAU

Zahid minta Ismail Sabri hormati keputusan PAU

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob menghormati keputusan Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) yang memutuskan dua jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan.

Ahmad Zahid berkata, walaupun parti menghormati pendapat peribadi, tidak bermakna mereka boleh membelakangkan keputusan sudah dicapai.

“PAU sudah memutuskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan tidak ditandingi jadi keputusan PAU hendaklah dihormati, walaupun kita hormati pendapat peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera yang tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan akan datang kerana tidak setuju dengan keputusan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

Terdahulu, Ismail Sabri mendakwa tindakan Umno itu ternyata bertentangan dengan perlembagaan parti dan sekiranya beliau bertanding sebagai Naib Presiden, ia sama seperti pihaknya mengiktiraf dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

Malah, Ahli parlimen Bera itu juga berpandangan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sepatutnya membuat keputusan berkaitan rayuan Umno sebelum tarikh tutup pencalonan Jumaat lalu.

Katanya, kelewatan ROS menyatakan pendirian mengenai perkara itu boleh menimbulkan masalah lain selepas ini.

PAU 2022 yang diadakan Januari lalu meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan, walaupun beberapa perwakilan membuat bantahan ketika berbahas Ucapan Dasar Presiden. – Malaysiapost

Komen