383 calon bertanding dalam Pemilihan Umno 2023
PEMILIHAN Umno 2023 menyaksikan seramai 383 pencalonan diterima dengan 115 calon akan merebut jawatan tertinggi parti berkenaan, khususnya Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi sesi 2023-2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata daripada jumlah itu, lapan pemimpin menawarkan diri merebut tiga jawatan Naib Presiden sementara 95 bagi jawatan Ahli MKT.
“Masanya sudah sampai untuk saya umumkan jumlah calon-calon yang telah menawarkan diri bagi jawatan-jawatan diperingkat MKT; peringkat sayap-sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Pada 26 Februari lalu, kita telah terima pencalonan diperingkat MKT seramai 118 calon,” katanya dalam program Wawancara Khas Bersama JPU yang disiar menerusi Facebook Umno Online, malam tadi.
Menurutnya, semakan dari segi kelayakan calon-calon berkenaan telah dilakukan dan tiga pencalonan bagi Ahli MKT ditolak selepas didapati tidak memenuhi syarat untuk bertanding iaitu seorang anggota MKT atau pernah memegang jawatan sekurang-kurangnya satu penggal atau tiga tahun di peringkat bahagian.
“Daripada 98 yang sudah diterima di peringkat Ahli MKT, kita sudah semak dan kita dapati tiga tak layak menawarkan diri dan kita sudah tolak tiga ini, akhirnya pencalonan Ahli MKT yang menawarkan diri dan diterima (pencalonannya) adalah seramai 95 orang.
“Jadi keseluruhan yang bertanding bagi jawatan-jawatan diperingkat MKT ialah seramai 115 calon iaitu Pengerusi Tetap dua calon, Timbalan Pengerusi Tetap (10 calon), Naib Presiden (lapan calon) dan Ahli MKT bagi 25 jawatan (95 calon),” katanya.
Beliau berkata, sayap Wanita Umno pula, seramai 70 pencalonan diterima iaitu membabitkan dua pencalonan bagi Pengerusi Tetap, empat calon Timbalan Pengerusi Tetap, dua calon bagi jawatan Ketua Wanita, dua calon Naib Ketua Wanita dan 60 pencalonan bagi 20 jawatan Exco Wanita.
“Diperingkat Pemuda, seramai 142 pencalonan keseluruhannya iaitu Pengerusi Tetap (tujuh calon), Timbalan Pengerusi Tetap (13 calon), Ketua Pemuda (lima calon), Naib Ketua Pemuda (empat calon) dan 113 calon bagi peringkat Exco Pemuda.
“Bagi Puteri pula, keseluruhannya seramai 56 calon menawarkan diri iaitu Pengerusi Tetap (dua calon), Timbalan Pengerusi Tetap (dua calon), Ketua Puteri (enam calon), Naib Ketua (tiga calon) dan 43 pencalonan bagi Exco Puteri,” katanya.
Menurutnya, dalam Pemilihan Umno 2023 golongan muda paling ramai menawarkan diri sebagai calon terutama bagi jawatan Exco di kesemua sayap parti.
“Jadi keseluruhannya seramai 383 calon akan bertanding pada pemilihan kali ini. Maknanya kali ini meriah terutama membabitkan golongan muda.
“Pemilihan ini telah membuka peluang bagi ramai dan yang menyambut peluang itu adalah anak-anak muda,” katanya.
Shahrir berkata, semua calon yang sudah diterima pencalonannya oleh JPU juga masih boleh mengambil keputusan untuk menarik diri iaitu sebelum jam 2 petang esok.
Beliau berkata pada jam 2 petang esok juga akan diadakan majlis mencabut nombor undi calon yang bertanding bagi semua peringkat iaitu bermula dengan puteri, pemuda, wanita, Ahli MKT serta Naib Presiden, yang berlangsung di Auditorium Umno di Menara Dato’ Onn. – Malaysiapost