89 calon SPM di Johor terkandas akibat banjir
BENCANA banjir yang melanda Johor ketika ini mengakibatkan seramai 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkandas dan tidak dapat hadir mengambil kertas peperiksaan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norliza Noh berkata, semua pelajar yang terkandas itu membabitkan lapan pusat peperiksaan iaitu enam di Segamat dan dua di Kluang.
“Seramai 89 calon SPM di Segamat dan Kluang terkandas dan tidak hadir menduduki kertas peperiksaan mereka setakat 10.30 pagi tadi.
“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau keadaan terkini terutama membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau turut meninjau beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi dan menghulurkan bantuan awal kecemasan.
Menurutnya, terdapat beberapa keluarga dari kawasan-kawasan terjejas di Kota Kecil, Taman Aman dan sekitar telah dipindahkan ke PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (C) New Kota, Kota Tinggi.
“Saya turut menghulurkan bantuan awal kecemasan kepada mangsa-mangsa terlibat.
“Di sini saya juga ingin merakam penghargaan buat agensi-agensi kerajaan yang terlibat membantu mangsa banjir seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan banyak lagi,” katanya.
Beliau juga meninjau kawasan terjejas banjir di Kampung Bukit Samsu awal pagi tadi dengan kerja-kerja pemindahan mangsa sedang dijalankan.
“Mereka yang terjejas ini akan ditempatkan di PPS Taman Koguna Kota Tinggi.
“Di musim hujan dan banjir ini saya memohon agar rakan-rakan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan. Semoga segala urusan kita hari ini dipermudahkan,” katanya. – Malaysiapost