Abdul Hadi belum pulih kemurungan politik, dakwa Najwan
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Najwan Halimi mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih belum pulih daripada penyakit kemurungan politik.
Menurutnya, tindakan Ahli Parlimen Marang itu yang berterusan menjaja naratif ‘kerajaan akan jatuh’ seolah-olah menunjukkan beliau masih tidak dapat menerima realiti.
“Kenyataan Presiden PAS kononnya kerajaan akan tumbang dalam masa terdekat hanyalah satu bentuk perang saraf untuk menggambarkan seolah-olah wujud ketidakstabilan politik.
“Apa yang nyata, pandangan beliau tiada asas kerana realitinya, kerajaan amat kukuh dengan sokongan majoriti dua pertiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Abdul Hadi menjangkakan bahawa kerajaan hari ini yang diterajui oleh Anwar akan tumbang tidak lama lagi, bagaimanapun beliau tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat .
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) Selangor itu berkata, sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui pentadbiran negara, beliau telah berjaya mewujudkan kesepakatan dan keyakinan dalam kalangan parti-parti yang bergabung membentuk kerajaan.
Jelasnya, pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan Perdana Menteri untuk menetapkan semula hala tuju dan keutamaan kerajaan.
“Belanjawan 2023 yang dibentang turut membuktikan komitmen kerajaan untuk menangani masalah rakyat terkait kos sara hidup serta membasmi kemiskinan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, dasar luar negeri serta penghormatan yang dizahirkan oleh negara-negara lain juga semakin baik sejak Anwar menerajui Kerajaan.
“Omongan kosong Presiden PAS yang secara konsisten dengan naratif ‘kerajaan akan jatuh’ sejak Anwar berjaya membentuk kerajaan menunjukkan betapa beliau masih tidak dapat menerima realiti serta belum pulih dari penyakit kemurungan politik,” katanya. – Malaysiapost