Annuar bakal sertai PAS?

Annuar bakal sertai PAS?

Aiman Hanif

BEKAS Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Annuar Musa hampir pasti akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti baharu bagi meneruskan kerjaya politiknya.

Menurut sumber yang rapat dengan bekas Setiausaha Agung Umno itu memaklumkan, Annuar kini sedang berunding dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hampir pasti Annuar akan menyertai PN, beliau kini sedang berunding dengan Muhyiddin berhubung penyerataannya.

“Perbincangan amat positif, malah Annuar dengan Muhyiddin juga mempunyai hubungan baik ketika Muafakat Nasional (MN),” katanya kepada Malaysiapost.

Disember tahun lalu, bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh itu antara tiga pemimpin Umno yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Selain Annuar, dua lagi pemimpin Umno yang dipecat ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua Umno bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita Umno Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Annuar dipecat kerana lantang mengkritik keputusan parti itu di bawah kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu sumber memaklumkan Annuar bakal memilih PAS sebagai parti baharu untuk bersama PN.

Ahli politik dari Kelantan itu memilih PAS memandangkan parti itu mempunyai pengaruh yang kuat di negeri Pantai Timur itu.

“Annuar akan memilih PAS sebagai pari baharu, bahkan keputusan untuk menyertai PAS dibuat selepas namanya digugurkan Umno.

“Annuar telah mengisi borang keahlian PAS pada masa itu, namun tidak menghantar kerana ingin menunjukkan jiwa besarnya pada Umno.

“Tapi kali ini saya pasti dia akan memilih PAS,” katanya lagi.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk menerima penyerataan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.

Komen