Annuar dialu-alukan sertai PN – Abdul Hadi

Annuar dialu-alukan sertai PN – Abdul Hadi

BEKAS Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dialu-alukan untuk menyertai mana-mana parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga Presiden Pas, menyifatkan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.

“Beliau pemimpin yang berwibawa, yang boleh membaca politik tanah air. Beliau akan buat keputusan sendiri. Kita alu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Dialog Ulama’ Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini sempena Pelancaran Buku Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.

Terdahulu pada Isnin lalu, Annuar memaklumkan beliau sedang memilih dan bersedia menyertai mana-mana parti politik yang sesuai dengan perjuangannya selepas hampir tiga bulan dipecat daripada Umno.

Sementara itu, ditanya mengenai mengenai perkembangan PN, Abdul Hadi berkata, gabungan itu ketika ini menunjukkan perkembangan yang positif sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Ada sebahagian Umno turut menyertai PN. Hasilnya, kita dapat sebuah negeri Perlis. Kita mara di Pahang dan Perak.

“Dan perkembangan positif akan berlaku apabila Umno bertindak secara tidak siuman terhadap pimpinannya sendiri,” katanya. – Malaysiapost

Komen