Banjir: 3 staf JKM terperangkap ketika hantar bantuan

Banjir: 3 staf JKM terperangkap ketika hantar bantuan

TIGA pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terperangkap dalam banjir kira-kira satu jam hari ini.

Kejadian itu berlaku berhampiran Parit Haji Kamisan di Yong Peng ketika mereka dalam perjalanan menghantar bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pegawai JKM Batu Pahat, Siti Nadiah Mardi, 36, berkata, kejadian tersebut berlaku pada waktu tengah hari dengan rakan sekerja, Herlinda Abd Majid, 42, serta pemandu lelaki berusia 46 tahun.

“Kenderaan kami terperangkap di jalan dalam kawasan kebun kelapa sawit yang dinaiki air. Jalan itu antara laluan ke PPS berkenaan.

“Mulanya air banjir hanya pada paras sederhana, namun jadi semakin tinggi hingga kepada paras berbahaya melebihi satu meter.

“Ia mengakibatkan kenderaan kami hanyut ke tepi. Air terus naik memaksa kami naik ke bumbung pacuan empat roda berkenaan,” katanya lapor Kosmo.

Menurut Siti Nadiah, mereka berdepan situasi mencemaskan itu kira-kira sejam dan sudah bersedia untuk berpaut pada pokok kelapa sawit sekiranya air terus naik.

“Kami menghubungi pelbagai agensi dan rakan supaya membantu sebelum keadaan bertambah buruk,” katanya.

Siti Nadiah berkata, selepas sejam mereka mendengar bunyi bot dan ketika itu masing-masing menjerit meminta bantuan sambil melambai-lambaikan tangan.

“Hanya tuhan saja tahu perasaan kami ketika itu, Alhamdulillah bot itu menuju ke arah kami dan difahamkan mereka menerima maklumat dan segera ke lokasi bagi menyelamatkan kami,” katanya.

Siti Nadiah berkata, dalam kejadian berkenaan, kesemua barangan yang dibawa dalam kenderaan tersebut termasuk makanan, minuman serta borang pendaftaran rosak. – Malaysiapost

Komen