Banjir di Johor ragut satu nyawa
SEORANG pekerja kilang disahkan lemas selepas kenderaan dipandu dihanyutkan arus deras di Jalan GSA Chamek Paloh, Kluang pagi tadi.
Lelaki tempatan itu dipercayai telah menolak kenderaan yang dinaiki ke dalam kawasan ladang selepas terkandas akibat laluan berkenaan dinaiki air.
Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, mengesahkan menerima satu laporan polis memaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, laporan diterima memaklumkan kejadian sebuah Toyota Innova telah dibawa arus deras di Jalan GSA Chamek Paloh bersama seorang lelaki warganegara tempatan.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan merupakan jalan besar Chamek – Kluang. Arus air laju dari kawasan ladang berhampiran jalan dipercayai telah menolak kenderaan mangsa ke dalam kawasan ladang bertentangan.
“Ketika kejadian mangsa berseorangan untuk ke tempat kerja di Kilang Kelapa Sawit, Ladang Kekayaan Paloh,” menurut hantaran itu.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh turut dilaporkan hadir dalam misi pencarian mangsa pagi tadi.
“Mayat mangsa telah dijumpai pada jam 12.20 tengah hari oleh Pasukan Boatman IPD Kluang. Mayat mangsa ditemui berada di dalam kereta yang dibawa arus lebih kurang 20 – 30 meter daripada jalan besar.
“Polis Daerah Kluang menasihati orang ramai untuk berwaspada dan berhati-hati ketika melalui jalan raya yang dinaiki air. Patuhi arahan lalu lintas yang telah dikeluarkan,” katanya. – Malaysiapost