Bersatu Selangor gesa PDRM siasat MB Selangor
BERSATU Selangor, hari ini mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta beberapa individu lain termasuk seorang Exco Kerajaan Negeri susulan dakwaan salah guna kuasa.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohd Shukor Mustaffa, berkata bagi tujuan itu pihaknya membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan seperti yang dilaporkan dalam satu portal berbahasa Inggeris, semalam.
Menurutnya, portal berkenaan menyatakan Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua dan Ahli Parlimen Gombak itu adalah salah seorang pengarah syarikat yang dianugerahkan projek mega bernilai RM700 juta.
“Skandal ini telah didedahkan oleh Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia Abdul Razak Ismail setelah menyemak maklumat tersebut dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Selain Amirudin, dinyatakan Adun Pandan Indah yang juga Exco Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim adalah pengarah syarikat itu bersama empat individu lain,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan itu, hari ini.
Menurutnya, seperti dilaporkan portal berkenaan, syarikat terbabit dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer (km) dari Mid Valley City ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.
“Lebih mengejutkan kami, laporan itu juga memetik sebagai ganjaran daripada projek berkenaan, syarikat terkait mendapat hak membangunkan tanah di kedua-dua tebing sungai membabitkan nilai pembangunan kasar RM10 bilion.
“Oleh itu Bersatu Selangor berharap polis akan segera menyiasat dakwaan ini mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan kami juga akan mengerahkan seluruh kepimpinan Bersatu Selangor di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat laporan polis sama,” katanya. – Malaysiapost