Data pembayar cukai dalam MyTax selamat, terjamin – LHDN
LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan kerahsiaan data pembayar cukai melalui portal MyTax adalah selamat dan terjamin.
Ini kerana data dalam portal berkenaan dilindungi oleh teknologi keselamatan data yang diiktiraf.
LHDN dalam kenyataan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan kebocoran data di platform MyTax itu dan memandang serius perkara berkenaan.
Katanya, antara dakwaan yang diterima ialah segala maklumat peribadi pembayar cukai boleh dicapai dengan mudah melalui paltform MyTax.
“LHDN memandang serius isu itu dan meletakkan sebagai keutamaan yang tertinggi dalam usaha meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan urusan percukaian.
“Oleh itu, LHDN akan terus berusaha menambahbaik mutu perkhidmatan dan bertindak secara proaktif serta telus bagi menangani isu ini,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada HASiL Care Line di talian 03-89111000, HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN.
Tular di media sosial hari ini yang mendakwa maklumat peribadi pembayar cukai boleh diakses oleh sesiapa sahaja melalui laman sesawang MyTax LHDN yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk pembayar cukai mengendalikan urusan cukai dalam talian.
Netizen mendakwa seseorang hanya memerlukan nombor MyKad untuk mengakses maklumat sensitif seperti alamat rumah, nombor telefon, nombor akaun bank, alamat e-mel dan nombor cukai.
Pada Disember 2020, LHDN telah melancarkan MyTax yang memudahkan pembayar cukai untuk mengakses maklumat mereka tanpa perlu ke pejabat.
Selain itu, MyTax ini juga boleh mengurangkan ketirisan serta meningkatkan kutipan hasil kepada negara. – Malaysiapost