Filem ‘Mentega Terbang’ bercanggah akidah Islam

Filem ‘Mentega Terbang’ bercanggah akidah Islam

KANDUNGAN filem ‘Mentega Terbang’ didapati jelas bertentangan akidah dan cara hidup umat Islam di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Justeru, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghantar laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan diambil terhadap filem kontroversi itu.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga telah diminta untuk memanggil pihak-pihak yang terbabit dengan penerbitan filem ini untuk urusan selanjutnya.

“Ingin ditegaskan JPM (Hal Ehwal Agama) sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam.

“Lebih-lebih lagi yang boleh mengundang kontroversi dan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan cara hidup,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Na’im mengingatkan penggiat seni supaya lebih berhati-hati dalam menerbitkan dan menyiarkan karya mereka kepada masyarakat.

“Masyarakat juga dinasihatkan lebih berhati-hati dalam memilih rancangan televisyen untuk tontonan seisi keluarga, sama ada menerusi platform dalam talian mahupun mana-mana saluran agar tidak terdedah kepada unsur yang boleh menjejaskan akidah Islam,” katanya.

Mentega Terbang arahan Khairi Anwar ditayangkan di platform penstriman Viu atau aplikasi telefon pintar secara percuma sejak 19 Januari lalu.

Filem itu menerima banyak bantahan daripada umat Islam di negara ini kerana didakwa mengandungi unsur pluralisme agama yang boleh menjejaskan akidah.

Filem itu memaparkan Aisyah, iaitu seorang gadis yang mencari kebenaran agama dengan membuat kajian perbandingan melalui bacaan kepada teks agama sedia ada.

Remaja berkenaan digambarkan sebagai seorang Islam yang menunaikan solat tetapi berfikiran liberal dalam menerima kerencaman beragama termasuk tidak kisah kepada babi sebagai makanan. – Malaysiapost

Komen