Jambatan bailey akan dibina di Felda Selancar – TPM
SEBUAH jambatan bailey akan dibina secepat mungkin susulan jalan terputus akibat banjir berhampiran jalan masuk ke Perwira Jaya dan gugusan Felda Selancar, dekat Rompin, awal pagi tadi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan jambatan Bailey berkenaan dijangka siap dalam masa antara 48 hingga 72 jam lagi.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Nadma menyediakan peruntukan dan hubungi Panglima Tentera Darat supaya segera membina jambatan bailey bagi menghubungkan laluan jalan yang terputus.
“Kerja (pembinaan) ini dijangka siap dalam tempoh 48-72jam.
“Ini adalah langkah sementara bagi memastikan laluan ini dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) nanti,” katanya kepada media selepas meninjau keadaan banjir di sekitar daerah Rompin, petang tadi.

Menurut Ahmad Zahid, terdapat 110 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan itu tidak dapat menduduki peperiksaan berikutan jalan terputus itu.
Selain itu, katanya, ada ambulan membawa pesakit yang perlu menjalani rawatan dialisis dan ibu mengandung terpaksa berpatah balik dan menghantar pesakit itu ke klinik kesihatan lain untuk tujuan rawatan.
“Oleh kerana (ramalan) hujan berterusan selama beberapa hari lagi, saya berharap kawasan-kawasan yang terdedah banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa,” katanya lagi.
Dalam kejadian awal pagi tadi, lebih 5,000 penduduk di Felda Selancar terputus hubungan selepas laluan utama ke kawasan tanah rancangan itu runtuh susulan hujan lebat.
Hujan lebat turut menyebabkan laluan alternatif ke kawasan yang mempunyai kira-kira 10 tanah rancangan itu ditenggelami air dan tidak dapat dilalui semua kenderaan. – Malaysiapost