Johor mula dilanda banjir
HUJAN lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan empat daerah di Johor kini dilanda banjir dengan seramai 1,591 penduduk daripada 560 keluarga dipindahkan setakat jam 8 pagi tadi di 21 pusat pemindahan sementara (PPS).
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata PPS di empat daerah yang terjejas akibat banjir itu mula dibuka sejak jam 1 pagi tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata daerah Segamat paling teruk terjejas dengan seramai 746 mangsa daripada 209 keluarga ditempatkan di enam PPS yang dibuka.
“Diikuti Johor Bahru dengan 560 mangsa dipindahkan di enam PPS, manakala Kluang membabitkan 188 mangsa daripada 162 keluarga di enam PPS dan 123 mangsa daripada 32 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kota Tinggi.
“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 daerah negeri ini sehingga esok, sekali gusmeningkatkan risiko banjir di kawasan rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, keadaan 10 sungai utama iaitu masing-masing tiga di Segamat dan Kulai, Johor Bahru (dua) dan masing-masing satu di Kluang dan Pontian, berada pada paras bahaya pagi ini.
Katanya, ia membabitkan Sungai Segamat Kecil yang melebihi paras bahaya di 38.12 meter, Sungai Batu Pahat lembangan Sungai Lenik melepasi 13.74 meter manakala Sungai Lenik Ladang Chaah pula melepasi 6.73 meter.
“Di Kulai pula, Sungai Siku di Kampung Murni Jaya melepasi paras bahaya di 18.93 meter, Sungai Skudai Kampung Separa melepasi 18.80 meter manakala Sungai Kampung Melayu Bukit Batu turut melepasi paras bahaya di 12.01 meter.
“Di Johor Bahru, Sungai Skudai di Kampung Laut melepasi paras bahaya 5.60 meter dan Sungai Skudai di Kampung Pasir turut melepasi tahap bahaya 1.05 meter.
“Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang juga melepasi tahap bahaya di paras 15.49 meter dengan Sungai Pulai, di Kampung Ulu Pulai, Pontian turut melepasi tahap bahaya pada paras 2.85 meter,” katanya.
Sementara itu, menurutnya dua jalan utama masing-masing di Kluang dan Segamat, turut ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air banjir.
“Ia membabitkan Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway FT050) di Kluang dan Jalan Bekok (J150) yang dinaiki air bah hampir satu meter,” katanya. – Malaysiapost