Kelantan boleh maju jika ada pelabuhan laut dalam

Kelantan boleh maju jika ada pelabuhan laut dalam

EKONOMI Kelantan mampu dilonjakkan dan menjadi negeri maju seperti Selangor sekiranya kerajaan negeri dibenarkan membina pelabuhan laut dalam.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia berikutan negeri yang dipimpin PAS itu mempunyai kedudukan strategik untuk menjana pendapatan negara.

Menyifatkan Kelantan sebagai ‘pintu masuk’ Laluan Sutera Moden, beliau berkata, jarak antara Tumpat ke negara-negara Indochina lebih dekat berbanding jarak antara rantau itu dengan Singapura.

“Jadi apakah salahnya kalau Kelantan diberi peluang untuk membangunkan sebuah pelabuhan laut dalam yang mampu menampung perdagangan yang ada di Pantai Timur dan Semenanjung.

“Sekiranya Kelantan tidak mendapat royalti, sekurang-kurangnya biarlah negeri itu diberikan lesen pelabuhan laut dalam.

“Biar kami cari pendana-pendana swasta untuk bangunkan infrastruktur yang kritikal ini dan kita (Kelantan) akan bantu untuk menambah KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara melalui gerbang timur ekonomi Malaysia,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal turut menyentuh mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan mengingatkan agar ia tidak dijadikan projek ‘gajah putih’.

Sebaliknya, katanya, ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan perancangan ekonomi yang menyeluruh agar kargo yang dibawa dari Pantai Barat merentasi Banjaran Titiwangsa sampai ke Pantai Timur untuk ke pasaran di Indochina.

“Dengan adanya ECRL , dengan adanya pelabuhan dan dengan siapnya Lebuhraya Central Spine Road, Kelantan juga boleh membangun seperti Selangor dan negeri-negeri lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen