Kerajaan kekal tiada rancangan iktiraf UEC – Fadhlina
KERAJAAN Perpaduan tiada rancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Menurutnya, pendirian kerajaan itu berlandaskan kepada dasar pendidikan negara dan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996.
“Untuk makluman ahli yang berhormat, sehingga kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tiada perancangan untuk mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, bagi menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai).
Pada 17 Februari lalu, Fadhlina yang merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal pernah menjawab soalan sama daripada Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN – Marang) yang ingin tahu pendirian KPM terhadap pengiktirafan UEC dan permohonan untuk menginstitusikan peruntukan kepada SMPC.
Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya lalu berjanji untuk meneruskan usaha mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. – Malaysiapost
Kredit foto: FMT