Kerajaan Perpaduan tanggung beban kerajaan terdahulu – Fuziah
KERAJAAN Perpaduan kini menanggung beban susulan kerajaan terdahulu membuat keputusan yang salah berkaitan dasar keterjaminan makanan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh di Dewan Rakyat hari ini berkata, keadaan itu sudah berlarutan selama sedekad dan sering dibahaskan oleh Ahli Parlimen.
“Perkara ini membebankan kerajaan kini, selama ini seingat saya, lebih sedekad kita bercakap tentang keterjaminan makanan. Keterjaminan makanan ini satu isu yang besar bukan isu remeh.
“Tapi kerajaan hari ini terpaksa menanggung liabiliti keputusan-keputusan dasar yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.
“Ini adalah beban besar ke atas Kerajaan Perpaduan pada hari ini namun kita komited dan akan berikan yang terbaik untuk rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjung Karang-PN) berkaitan Tahap Sara Diri (SSL) daging lembu berbeza dari ayam.
Dalam pada itu, mengulas soalan berkaitan kenaikan harga daging ternakan seperti ayam dan khinzir, Fuziah memaklumkan satu sekretariat khas telah ditubuhkan.
Menurutnya, sekretariat khas yang ditubuhkan itu membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.
Kedua-dua sekretariat ini katanya bertanggungjawab berbincang dan memastikan bahawa harga daging dapat dikawal kerana ada banyak faktor luaran seperti makanan haiwan yang menjadi penentu kepada harga daging itu sendiri. – Malaysiapost