Kisah hidup Anwar ke layar perak Mei ini

Kisah hidup Anwar ke layar perak Mei ini

FILEM berjudul ‘Anwar, The Untold Story’ yang mengisahkan perjalanan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi korupsi akan diangkat ke layar perak pada Mei ini.

Penerbit eksekutif filem tersebut, Zulkiflee Anwar Haq atau lebih dikenali Zunar berkata, usaha untuk menghasilkan filem itu telah bermula sejak 2011, namun terdapat banyak kekangan menyebabkan penerbitannya tidak dapat dijalankan lebih awal.

Katanya, set masa filem itu berdasarkan cabaran yang dihadapi Anwar dalam menangani isu rasuah di negara ini bermula dari 1993 sehingga 1998, iaitu ketika dilantik sebagai Menteri Kewangan sehingga dipecat dan dipenjarakan.

“Menerusi cerita ini, penonton akan disajikan dengan plot kehidupan beliau (Anwar) yang diketahui oleh orang ramai, dan juga cerita terpendamnya yang ramai masyarakat tidak tahu akan dibawa dalam karya ini seperti kehidupan beliau semasa dalam penjara.

“Jadi, bagi menjayakan pembikinan karya ini, ramai individu yang telah kita temu bual termasuk juga mendapatkan laporan tentang keadaan beliau (Anwar) sewaktu di penjara” katanya pada majlis pelancaran filem itu hari ini.

Filem terbitan produksi Bianglala Entertainment menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Farid Kamil, Hasnul Rahmat dan Acha Septriasa.

Ditanya sama ada penerbitan filem itu bersempena dengan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, beliau menjawab, pembikinannya itu sudah berjalan sejak 2021.

“Karya ini kita sudah usahakan sebelum beliau (Anwar) menjadi Perdana Menteri lagi, dan kita ketika itu tidak menyangka yang dia akan jadi Perdana Menteri.

“Dalam filem ini juga, banyak penggambaran dijalankan di Indonesia atas beberapa faktor halangan semasa,” jelasnya.

Beliau berharap penerbitan karya itu dapat mengangkat semangat juang dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memerangi rasuah. – Malaysiapost

Komen