Menu Rahmah kini boleh didapati di McD, KFC

Menu Rahmah kini boleh didapati di McD, KFC

MENU Rahmah kini boleh didapati di restoran makanan segera McDonald’s (McD), Kentucky Fried Chicken (KFC) dan The Manhattan Fish Market, bermula bulan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, francais makanan popular itu telah menyatakan kesediaan menyertai inisiatif kerajaan untuk menawarkan menu tersebut.

Katanya, antara rangkaian makanan segera yang menawarkan Menu Rahmah sejak bulan lalu adalah Burger King, Marrybrown, A&W dan terbaharu, Domino’s Pizza.

“Setakat ini, terdapat 1,142 premis makanan di seluruh negara melibatkan restoran dan kedai makan sudah turut serta dalam inisiatif Menu Rahmah kepada pelanggan.

“Jumlah itu dijangka terus bertambah menjelang bulan Ramadan berdasarkan ‘trend’ pengusaha makanan mahu mengambil bahagian meringankan beban rakyat.

“Ini termasuk rangkaian makanan segera yang tidak ketinggalan menunjukkan sambutan dan maklum balas positif untuk menawarkan Menu Rahmah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Jelajah Menu Rahmah dan Penyerahan Bakul Rahmah di Wakaf Tok Pelam, Kuala Terengganu, hari ini.

Salahuddin berkata, KPDN berharap lebih banyak pemain industri makanan untuk terus bersama-sama menjayakan aspirasi bagi membantu rakyat mendepani isu kos sara hidup. – Malaysiapost

Komen