Pemilihan Umno: Ramai kempen visi, misi tetapi wajib ada keberanian dan pendirian – Muqharabbin

Pemilihan Umno: Ramai kempen visi, misi tetapi wajib ada keberanian dan pendirian – Muqharabbin

BEKAS Exco Pergerakan Pemuda U Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan bahawa calon-calon yang berkempen dengan Visi, Misi dan Gagasan dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti UMNO, wajar mempunyai keberanian dan pendirian.

Menurutnya, calon-calon perlu berani bersuara dan berpendirian dalam membuat keputusan serta perlu bersatu hati dalam mengubah dan membuat rejuvenasi parti.

“Umno kini sudah menjadi parti pilihan ketiga orang Melayu. Kita tidak boleh lagi retorik dan bermain jalan selamat serta ‘berlakon’ demi rakyat.

“Tapi perubahan sebenar adalah pemilihan kali ini kerana ianya ibu segala perubahan. Jangan menang sorak, kampung tergadai, bagai menang undi tapi parti tetap lemah di takuk lama dan rakyat tetap tidak menyokong,” katanya.

Beliau berkata, untuk menang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), parti itu memang memerlukan undi akar umbi, tetapi undi utama adalah rakyat dan golongan atas pagar.

Menurutnya, kesemua mereka banyak memberi pendapat bahawa Umno perlu berubah dari kepimpinan hinggalah ke ahli akar umbi.

“Walaupun tidak mampu mengubah semua, sekurang-kurangnya dasar dan kepimpinan parti wajarlah diperbaiki secara holistik dan juga gerakan yang pelbagai.

“Saya banyak bersuara bukan saya orang siapa-siapa. Saya orang parti dan sayangkan parti ini. Tapi sekiranya masih juga tiada perubahan besar, rakyat juga yang akan menghukum kita semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU-16 nanti.

“Jadi beringat dan bangkitlah dengan perubahan kepimpinan yang berani dan berprinsip,” katanya. – Malaysiapost

Komen