PN hantar ‘peluru kapur’ serang kerajaan negeri – MB Selangor

PN hantar ‘peluru kapur’ serang kerajaan negeri – MB Selangor

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan laporan polis dibuat Perikatan Nasional (PN) terhadapnya berhubung dakwaan projek bernilai RM700 juta, ibarat menghantar ‘peluru kapur’.

Ahli Parlimen Gombak itu menegaskan, laporan dibuat PN itu dilihat sebagai tindakan untuk menyerang kerajaan negeri pimpinannya, selain seolah-olah mahu menggambarkan bahawa terdapat kepentingan peribadi dalam isu berkait syarikat itu.

Beliau menjelaskan, kedudukan beliau dan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB) hanya mewakili kerajaan negeri.

“Seperti yang dinyatakan LLB sebelum ini, kehadiran saya dan Izham bukan atas dasar peribadi. Ia mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri dijamin dengan selesa.

“Justeru, saya ucapkan tahniah kepada PN yang menghantar ‘peluru kapur’ untuk menyerang kerajaan negeri, boleh cuba lagi pada masa depan.

“Saya ingin tegaskan, kita mewakili kerajaan negeri. Saya mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri tidak terganggu dan tidak terkurang,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu, PN Selangor membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa itu menyiasat sebarang pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat yang didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri berkenaan.

Gesaan itu dibuat selepas tular dakwaan dalam media sosial bahawa Amirudin menyalahgunakan kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan. – Malaysiapost

Komen