PN pun tidak beri bonus sampai RM1,000, bidas Amirudin kepada Shahidan

PN pun tidak beri bonus sampai RM1,000, bidas Amirudin kepada Shahidan

AHLI Parlimen Gombak Datuk Seri Amirudin Shari memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) yang mengkritik Kerajaan Perpaduan berkenaan isu bonus penjawat awam.

Beliau mencelah ucapan Shahidan yang sebelum itu menyebut jika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, pasti penjawat awam akan diberi bonus sebanyak RM2,000.

“YB Arau, saya nak tanya sebelum ni Arau dalam Kabinet pun, tak sampai RM1,000 pun bagi bonus. Dah jadi pembangkang baru nak bagi RM1,000. Inilah masalah pembangkang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Shahidan dalam perbahasannya mengenai Belanjawan 2023 menyentuh langkah kerajaan hanya memberikan RM700 sebagai bonus kepada penjawat awam.

Beliau berkata, seharusnya bonus penjawat awam dinaikkan kepada RM1,000.

“Berkenaan elaun pegawai kerajaan, YB Tambun terima kasih. Saya cadangkan dalam keadaan yang teruk ini, bagilah RM1,000 kepada pegawai-pegawai kerajaan. Kesian.

“Kalau kami memerintah sudah pasti kami naikkan sampai RM2,000,” katanya.

Shahidan turut menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai ‘balas dendam’.

“Yang Berhormat kalau nak balas dendam, anggaplah ini Madani balas dendam. Ini madani YB, mestilah kena ada pemikiran baru,” katanya.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) kemudiannya bangkit dan mencelah ucapan Shahidan.

“Kan kerajaan dah bagi RM700. Dah bagi dah RM700,” kata Sany.

Dalam Belanjawan 2023 yang dibentang Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan Aidilfitri atau bonus sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah, yang mula dibayar April ini. – Malaysiapost

Komen